ISU GURU BERKUALITI DITEMPATKAN DI LUAR BANDAR.

Monday, 3 September 2012
ISU GURU BERKUALITI DITEMPATKAN DI LUAR BANDAR.

            Isu ini telah dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan penekanan atau keutamaan diberikan dalam melahirkan guru yang berkualiti dan mencukupi untuk ditempatkan di sekolah terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
            Tambahan lagi, beliau yang juga merupakan Menteri Pelajaran mencadangkan perkara itu sebagai penambahbaikan selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat global, keperluan semasa, dan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta merealisasikan apa yang digariskan dalam bentuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pelajaran.
            Mengajar di pedalaman memang memeritkan fizikal dan mental para guru. Masalah infrastruktur dan tiada bekalan tenaga elektrik serta air sememangnya memberi tekanan. Guru yang sudah terbiasa dengan jalan berturap pasti tertekan bila terpaksa melalui jalan berlopak dan meredah belantara untuk sampai ke sesuatu destinasi. Apatah lagi jika perlu bersampan atau menaiki bot tanpa jaket keselamatan.
            Tiada bekalan air bersih dan air paip memburukkan lagi keadaan. Tenaga elektrik hanya bersumberkan set generator atau sel bateri basah pasti menimbulkan kesulitan. Tambahan lagi, bangunan sekolah dan tempat tinggal yang daif memang satu cabaran untuk guru di pedalaman.
            Dengan adanya faktor-faktor begini, saya merasakan ada sebilangan guru-guru mengambil mudah dan bersikap sambil lewa serta tiada kualiti untuk mengajar di sekolah. Oleh sebab itu, masih wujud lagi isu mengenai guru pedalaman tidak hadir ke sekolah tanpa sebab, keluar ke pekan ketika waktu pengajaran dan pembelajaran, dan sebagainya. Di manakah kualiti sebagai seorang guru dalam diri mereka? Bagaimanakah nasib anak-anak bangsa yang berada di pedalaman dan luar bandar?
            Guru yang berkualiti adalah guru yang benar-benar sanggup untuk menyahut cabaran mengajar di kawasan luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan prestasi kecemerlangan murid di sekolah tersebut. Sejajar dengan itu, saya juga merasakan bahawa selain guru, kualiti pemimpin sekolah juga perlu dimantapkan. Sudah tiba masanya, pemilihan para pemimpin sekolah dilakukan bukan sahaja berdasarkan kekananan, tetapi juga melalui proses yang lebih telus dan memilih yang terbaik, berbakat dan mempunyai kualiti kepimpinan yang dinamik. Pemimpin sekolah perlu seorang yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi, cemerlang, komited, di samping berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat menterjemahkan dasar pendidikan dalam tugas seharian dan seterusnya mampu memberikan didikan yang terbaik kepada murid.
            Jika diselidik lagi mengenai punca isu ini, saya beranggapan bahawa ketidakbersediaan para guru dari segi mental dan fizikal juga merupakan salah satu faktor guru berkualiti kurang di kawasan luar bandar. Guru seperti ini selalu beranggapan bahawa bilangan pelajar yang kurang, kemudahan yang daif khususnya ICT, tahap kognitif murid yang rendah, merupakan satu ‘bonus’ kepada mereka untuk bertindak mudah dalam semua aspek. Tambahan lagi, jika berada di kawasan pedalaman dan luar bandar, pantauan dari pihak atasan yang kurang akan membolehkan isu ini bebas berterusan.
            Selain itu, saya juga merasakan bahawa kebanjiran guru sandaran tidak terlatih di kawasan luar bandar dan pedalaman juga telah mendorong kepada isu ini. Definisi guru sandaran tidak terlatih (GSTT) ialah org di luar yang berminat jadi guru tetapi tiada sijil, diploma atau ijazah dalam bidang perguruan. Kebiasaannya mereka ini akan jadi guru ganti bagi memenuhi kekekurangan guru di sesebuah sekolah. Ada yang tertakluk di bawah kontrak tertentu tetapi boleh ditamatkan bila-bila masa sahaja. Oleh kerana itu, ada segelintir guru-guru GSTT ini tidak mendalami ilmu pedagogi yang sebenar untuk mendidik anak-anak murid. Namun demikian, saya berharap masalah GSTT ini akan berkurangan setelah kerajaan memperbaiki sistem pendidikan negara dengan menawarkan kursus ijazah sarjana muda perguruan kepada guru GSTT baru-baru ini.
            Ciri – ciri yang menonjolkan sifat tidak cemerlang segelintir para guru, seharus tidak dibiarkan berleluasa menjadi duri kepada orang lain, menitikkan nila ke dalam air sebelanga dan menconteng arang kepada semua wajah yang tidak berkenaan. Oleh itu, saya menyimpulkan beberapa ciri dalam diri seorang guru yang tidak berkualiti, antaranya ialah : -
            Pertama, Guru yang tidak pandai mengajar . Hal ini bermaksud, bukan semua guru tidak pandai mengajar, tapi tidak semua guru pandai mengajar. Kata-kata ini merujuk kepada ramainya guru pada hari ini bukanlah dilahirkan dengan bakat-bakat tertentu untuk muncul sebagai seorang guru dalam erti kata yang sebenarnya. Terbukti semakin ramai guru di sekolah semakin banyak pula pusat tuisyen tumbuh merata-rata. Mengapa ini berlaku ? Pelajar yang kurang cemerlang di sekolah, apabila mendapat tuisyen di pusat-pusat ini kembali dengan keputusan-keputusan peperiksaan yang memberangsangkan. Itu salah satu bukti betapa sesetengah guru sekolah tidak pandai mengajar, sudah tidak minat mengajar atau sudah tewas dan bosan untuk mengajar.
            Kedua, ciri guru tidak berkualiti ialah guru yang tidak pandai menguasai. Untuk menjadi seorang guru, mereka perlu menguasai bidangnya dan bukan dia dikuasai oleh bidangnya itu. Guru yang dikuasai oleh bidangnya adalah seorang guru yang malas mencuba, di mana dia mengikut sahaja rentak yang sedia ada. Tiada daya usahanya untuk mencuba sesuatu yang baru yang boleh diertikan sebagai profesionalismenya dalam bidang berkenaan. Guru yang tidak pandai menguasai juga adalah guru yang gagal sebelum perjuangan sebenar. Murid mungkin akan mula tidak ambil perhatian terhadap pengajaran guru dan tidak mustahil mereka mula mempermainkannya pula dalam erti kata lain ‘membuli’ guru tersebut.
            Ciri ketiga bagi seorang guru yang tidak berkualiti ialah tidak pandai berlakon. Tidak pandai berlakon yang dimaksudkan di sini ialah seorang guru perlulah menjadi seorang pelakon yang baik, apatah lagi kalau dia mengajar di sekolah rendah, dia perlu banyak berlakon dalam memukau perhatian murid-muridnya. Dia bukan sekadar mengajar mata pelajaran yang dikhususkan kepadanya mengajar, tetapi melakonkan mata pelajaran itu. Seorang guru bukanlah guru yang baik kalau ilmunya banyak tetapi setiap kali dia berada di hadapan murid dia menjadi seorang yang membosankan, murid mungkin hilang tumpuan, mengantuk atau mungkin juga tertidur dengan nyenyaknya. Sebagai contoh, guru perlu bijak melakonkan aksi-aksi sebagai seorang atlet jika mereka mengajar bagi pendidikan jasmani.
            Seterusnya, ciri-ciri bagi seorang guru yang tidak berkualiti ialah tidak keratif di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Mengajar adalah satu cabang seni yang memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu. Seorang guru perlu kreatif dalam menjalankan tugasnya. Guru kreatif sentiasa ada idea baru untuk mencorak pengajarannya. Suka mempelbagaikan gaya pengajaran, pendekatan, memikirkan kaedah dan teknik yang menarik untuk menyampaikan ilmu agar pelajar memahami apa yang diajarnya. Penggunaan bahan bantu mengajar dan bahan bantu belajar menjadi satu kemestian bagi pelaksanaan aktiviti pelajar agar wujud pembelajaran bersama atau kolaborasi yang menimbulkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
            Jika tiada ciri-ciri seperti diatas di dalam diri seorang guru, apakah yang akan terjadi kepada sistem pendidikan negara kelak? Bagaimana nasib anak-anak bangsa? Bagaimana pandangan dan kepercayaan masyarakat kepada para guru?
            Namun demikian, masih tidak terlambat lagi untuk seorang guru memajukan dan memperbaiki sifat dalam diri mereka untuk menjadi seorang guru yang benar-benar berkualiti. Jika diteliti dengan lebih mendalam, saya akui bukan mudah untuk memikul tugas dan beban sebagai seorang guru yang mengajar di bandar mahupun di luar bandar. Sebaliknya, jika para guru mengikut garis panduan dibawah, tidak mustahil mereka dapat membentuk diri menjadi seorang guru yang berkualiti.
            Pertama, guru bandar mahupun luar bandar harus bertindak sebagai penyebar ilmu. Fungsi guru ialah mendidik murid dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada pelbagai disiplin dalam kurikulum sekolah. Para guru haruslah memiliki sifat-sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan mempunyai sikap membantu serta menyampaikan seberapa banyak ilmu kepada murid-muridnya. Penekanan di sini ialah mengenai sikap dan penampilan guru itu sendiri terhadap konsep ilmu. Guru harus mendalami ilmu sebanyak mungkin supaya dapat menyebarkan ilmu kepada para pelajar bagi melahirkan insan dan warganegara yang berilmu. Dalam era transformasi pendidikan masa kini, guru hendaklah menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis serta memperkembangkan potensi pelajar dalam semua aspek JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial) bagi mencapai pendidikan bertaraf antarabangsa.
            Kedua, sebagai seorang pendidik, guru perlu bertindak sebagai Pembentuk nilai / Role Model kepada murid-murid. Ini merupakan kriteria penting bagi mengukur mutu sesuatu benda. Guru harus membentuk murid-murid untuk memiliki akhlak yang mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Nilai-nilai yang perlu diterapkan ialah moral, agama, terminal dan instrumental. Jadi, guru seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional, dan sosial yang baik dan murni terlebih dahulu supaya dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Sebagai ibu bapa kedua kepada murid-murid, segala nilai dan tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada para pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah secara tidak langsung akan diterapkan dalam jiwa pelajar. Guru yang beriltizam akan menjadi role model kepada para pelajarnya. Secara tidak langsung, guru berkenaan akan dapat memupuk beberapa ciri peribadi yang positif melalui amalan-amalannya di dalam bilik darjah.
            Seterusnya, untuk menjadi seorang guru yang berkualiti, mereka seharusnya bertindak sebagai pengamal budaya ilmu. Ilmu merupakan sesuatu yang bermakna dan membawa penyuburan serta semangat kepada jiwa manusia. Hal ini menunjukkan ilmu merangkumi semua aspek kehidupan luaran dan dalam jiwa manusia. Guru sebagai pengamal ilmu perlu mempraktikkan budaya ilmu seperti membaca, berfikir, memerhati, berkarya, bersumbangsaran, dan bertukar fikiran serta mencari pengalaman baru. Dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p), guru akan memindahkan ilmu yang baik, meninggikan adab murid, serta memberi petunjuk ke arah kebenaran sebagai seorang pengamal ilmu. Sebagai seorang guru, budaya ilmu harus menjadi kriteria utama dan harus dipupuk dalam diri supaya menjadi teladan bagi para pelajar untuk mencontohinya.  Budaya ilmu di kalangan guru dan pelajar adalah sejajar dengan salah satu matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan generasi yang mencintai ilmu pengetahuan dan seterusnya menjadi teras dan tunjang dalam amalan pendidikan seumur hidup.
            Selain itu, guru juga perlu mengamalkan kemahiran profesional yang merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan dan dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid-murid di sekolah. Oleh itu, guru yang mempunyai kemahiran profesional serta kecerdasan emosi yang tinggi memainkan peranan besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Peranan ini penting bagi membawa pendidikan negara Malaysia ke arah pendidikan yang bertaraf dunia. Antara kemahiran yang perlu ditekankan ialah kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif. Para pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi dalam menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif juga perlu terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa.
            Di samping itu juga, saya merasakan bahawa seorang guru yang berkualiti perlu bersifat profesional dan peka dengan segala perkembangan pendidikan. Untuk menjadi pendidik yang profesional, seorang guru perlu peka terhadap inisiatif pendidikan yang terkini.. Guru yang profesional juga sentiasa mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian lampau dan terkini bagi mengemaskinikan pengetahuan dan kemahiran p&p guru. Guru hendaklah melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran menggunakan internet untuk memperolehi maklumat tentang perkembangan matapelajaran dan pedagogi pengajaran masa kini di samping membimbing murid-murid menggunakan internet sebagai p&p. Selain itu guru perlu mengaplikasikan teknologi maklumat (ICT) di dalam bilik darjah melalui program SLE (Smart Learning Environment) yang bertujuan meningkatkan pengetahuan guru terhadap penggunaan ICT. Antaranya aplikasi word processing, spreadsheet, database, desktop publishing, dan graphing. Secara ringkasnya, guru perlu bertindak sebagai “teacher” dan “researcher”.
            Akhir sekali, bagi membentuk kualiti dalam diri seorang guru, mereka seharusnya mengamalkan pengajaran efektif . terdapat tiga peringkat bagi mewujudkan pengajaran efektif. Pertama, perancangan pengajaran yang berkesan. Pengajaran bergantung kepada perancangan, pelaksanaan, penilaian terhadap proses dan objektif pembelajaran. Oleh itu, mengenalpasti objektif pengajaran merupakan salah satu ciri kualiti pengajaran yang diperlukan dalam perancangan. Guru juga harus membuat refleksi kendiri untuk menilai objektif pengajarannya setelah selesai melaksanakan pengajaran. Oleh itu guru harus mempunyai kemahiran dalam memilih strategi p&p yang sesuai kerana ia merupakan suatu rancangan untuk melaksanakan aktiviti p&p juga mahir dalam penggunaan kaedah dan teknik mengajar untuk menyampaikan isi pelajaran dengan cara yang berkesan, kerana pemilihan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai akan menjamin keberkesanan pengajaran serta pencapaian objektifnya secara optimum.
            Peringkat kedua pula ialah pelaksanaan pengajaran yang berkesan. Peranan guru dalam pelaksanaan dan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran meliputi tugas-tugas seperti menganalisis objektif dan isi kandungannya, menentukan keperluan pelaksanaan seperti melengkapkan diri dengan kemahiran mengajar dan penyediaan bahan-bahan pelajaran, merancang dan melaksanakan pengajaran, membuat penilaian untuk mengenalpasti kelemahan dengan tujuan meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan pengajaran dengan membuat pengubahsuaian dalam rancangan mengajar.
            Peringkat terakhir ialah penilaian pengajaran yang berkesan. Penilaian dalam pendidikan dan pembelajaran sebagai satu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif p&p. Pendidik perlu membuat penilaian dan menghargai perbezaan setiap individu kerana setiap perbezaan itulah yang akan menentukan cara setiap individu itu belajar dan juga boleh memberi pengalaman pembelajaran kepada masing-masing.
            Kesimpulannya, dalam menuju pendidikan bertaraf dunia, guru adalah agen terpenting dalam merealisasikan pendidikan anak bangsa Malaysia dalam mengharung cabaran di tahap yang lebih tinggi. Pengisian guru yang berkualiti seperti yang telah diterangkan seperti di atas iaitu guru perlulah bertindak sebagai penyebar ilmu, pengamal budaya ilmu, guru sebagai role-model, mengamalkan pengajaran efektif, peka dengan segala perkembangan pendidikan, dan mengamalkan kemahiran profesional mampu meyediakan generasi muda untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan daripada masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi yang sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat. Saya juga berpendapat bahawa ciri-ciri di atas bukan sahaja patut dipenuhi oleh guru-guru luar bandar sahaja, walhal semua guru di negara ini perlu memainkan peranan yang sama agar matlamat pendidikan negara dapat dicapai dengan jayanya.

1 comments:

Unknown said...

terima kaseh..its help me a lot to make my research proposal..

Post a Comment